Sunday, July 13, 2008

'Draf Plan Bandar Raya KL' - KAMPUNG BAHRU

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) - Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali berkata beliau berbangga dengan penduduk Kampung Baru yang berani untuk tampil memberi respon mengenai Draf Plan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (Kampung Baru) yang diadakan di Dewan Hamzah, Kampung Baru, dekat sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini pemilik dan pewaris tanah kampung tidak diberi peluang yang sewajarnya untuk menentukan arah tuju pembangunan kampung mereka sendiri.
"Biarpun sebelum ini saya berasa agak kesal dengan apa yang berlaku kepada mereka kerana tidak ada yang menjuarai mereka tetapi hari ini majoriti mereka berani menyuarai hak mereka," katanya yang sebaik selesai beliau bersama majlis Taklimat dan Diolog Draf Plan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (Kampung Baru).

Dalam pada itu katanya, penduduk di situ yang mempunyai pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu bersatu.

Ini katanya, walaupun mereka di bawah Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk iaitu Malay Agricultural Settlement (MAS) yang bertindak sebagai pemegang amanah enakmen Kampung Baru masih tidak bersatu hati.

"Saya sebagai wakil rakyat yang baru tidak tahu apa yang berlaku sebelum ini kerana ia di luar kuasa saya tetapi jika mereka tidak bersepadu ini tidak betul malah MAS sendiri pun kena balik pada kuasa mereka yang asal," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau akan perkasakan MAS supaya mereka tidak terkebelakang untuk membela penduduk kampung tersebut.

Menurutnya jika Draf Plan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (Kampung Baru) diluluskan maka MAS tidak berfungsi lagi.

"MAS perlu diperkasakan supaya menjadi nadi untuk apa saja jawatankuasa yang akan ditubuhkan demi pembangunan Kampung Baru.

"Jika mereka tidak mahu orang lain membangunnya mereka mesti membangun dan tidak boleh bercakap saja tanpa ada tindakan," katanya sambil berkata isu tersebut juga tidak harus dipolitikkan.

Ini katanya, beliau sendiri akan menjadi penyelarasnya bahkan beliau sendiri akan mengatur pertemuan penduduk dengan Menteri Besar Selangor untuk membincangkan masalah tanah mereka.

Ini katanya, menurut seorang peguam yang hadir di majlis tersebut, Ahmad Zamri Khusairi, Kampung Baru berada di bawah undang-undang enakmen seksyen 6, enakmen tanah 1867.
Enekemen tersebut katanya, sampai sekarang tidak pernah dimansuhkan.

Bagaimanapun katanya, apabila berlaku penubuhan Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengambil alih di segi pentadbirannya.

Dalam pada itu kira-kira 200 penduduk hadir dalam taklimat tersebut yang mengambil masa hampir empat jam.

Mereka juga menegaskan bahawa mereka menolak draf tersebut.

No comments: